Sekitar 1,500 Tiket Bertemu Khabib Nurmagomedov Di Malaysia Terjual

September 3, 2024
Lain-Lain

Hafiz Omar

Bagaikan pisang goreng panas, kira-kira 50% tiket bagi acara bual bicara dan sesi bertemu bekas atlet seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov di ibu negara telah terjual sejak ianya dibuka pada 28hb Ogos lalu.

Acara itu dijadualkan berlangsung pada 29hb September bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Perkara tersebut dikongsikan oleh penganjur, Ketua Pegawai Operasi (COO) Faith Events, Munira Mustafa dalam sidang media Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024, pada hari ini.

Pihak penganjur hanya menyediakan sebanyak 3,000 keping tiket bagi acara berkenaan melibatkan enam kategori iaitu Dagestan (RM159), Undisputed (RM259), Send Me Location (RM399), The Eagle (RM499), The Champion (RM1,699) dan Royal Box (RM1,699).

Untuk makluman semua, tiket bagi kategori Royal Box, The Champion dan Dagestan telah pun habis terjual sementara jualan bagi kategori The Eagle berjalan dengan pantas di laman sesawang, www.khabibmalaysia.com

Menurut pihak penganjur, ini merupakan kemunculan pertama Khabib kelahiran Dagestan, berusia 35 tahun bukan sahaja di negara ini bahkan rantau asia tenggara dalam acara bual bicara dan sesi bertemu peminat sebegini.

Dalam acara itu nanti, peserta berpeluang untuk mendengar sendiri kisah-kisah hidup Khabib yang memegang rekod 29 pertarungan tanpa kalah bagi kategori “lightweight” dalam saingan Ultimate Fighting Championship (UFC) daripada mulutnya secara langsung.

Sesi itu akan dihoskan oleh penyanyi serta pelakon terkenal tanah air, Alif Satar sebagai moderator atau pengacara.

Selain itu, penganjur turut membawakan dan menampilkan jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo sebagai tetamu khas. 

Selain daripada menyertai acara ini, Khabib yang turut dijuluki dengan nama “The Eagle” turut dijadualkan bertemu Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu sesi makan malam.

Sebagai tambahan, Khabib yang mengumumkan persaraan selepas menumpaskan Justin Gaethje dalam aksi UFC 254 pada Oktober 2020 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini bergiat aktif bersama organisasinya, Eagle FC.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd