Paralimpik 2024: Bonnie Sumbang Emas Kedua, Pecah Rekod Dunia

September 6, 2024
Sukan Para

Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia kini mengumpul pingat dua emas di temasya Paralimpik 2024 Paris susulan jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin menjuarai acaranya bagi kategori 72 kilogram (kg) pada hari ini.

Kilauan pingat tersebut menjadi milik atlet berusia 25 tahun kelahiran Sarawak itu apabila berjaya melakukan angkatan seberat 232kg pada percubaan ketiga dengan jayanya.

Bukan itu sahaja, angkatan tersebut turut membolehkan Bonnie mencipta rekod dunia yang baharu dengan memadamkan rekod dunia yang diciptanya sendiri iaitu 231kg ketika beraksi di Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2023.

Jumlah angkatan Bonnie itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Hu Peng, 35 tahun, yang meraih pingat perak dengan angkatan seberat 214kg – perbezaan sebanyak 18kg.

Sementara itu, pingat gangsa pula menjadi milik atlet powerlifting para dari Itali, Donato Telesca, 24 tahun, yang menyempurnakan angkatan terbaiknya seberat 213kg.

Kejayaan Bonnie pada hari juga menjadikan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2023 ini berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam kategori yang sama di temasya Paralimpik 2020 Tokyo.

Terdahulu, Kontinjen Malaysia berhasil memungut pingat emas pertama di Paralimpik 2024 apabila jaguh badminton para, Cheah Liek Hou muncul juara dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Featured Image: Paralympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd