Terbuka Hong Kong: Sze Fei-Izzuddin Kandas Pusingan 16

September 12, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin gagal menempatkan diri ke peringkat suku akhir Terbuka Hong Kong 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 500.

Kempen gandingan pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu menemui noktahnya susulan ditumpaskan oleh beregu Indonesia yang baru sahaja bergandingan sejak penghujung Ogos lalu, Shohibul Fikri dan Daniel Marthin pada pusingan 16, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin yang turut diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-16, 19-21 dan 13-21 dalam tempoh masa satu jam permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan pertama dialami Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-12 dunia sejak bergerak secara bebas (independent) bermula 1hb September lalu.

Sementara itu, Fikri-Daniel yang melakarkan kemenangan berhasil mara setapak lagi dalam kejohanan iaitu ke peringkat suku akhir.

Menanti gandingan yang menduduki ranking ke-102 dunia pada peringkat tersebut adalah samada pilihan ketiga kejohanan yang muncul naib juara Terbuka Korea 2024, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae atau gandingan Malaysia, Lim Tze Jian dan Wong Tein Ci.

Featured Image:  Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd