Shevon Tetap Bangga Muncul Naib Juara Terbuka China – Raih Sekitar RM292,000
Hafiz Omar

Pemain badminton beregu campuran negara, Shevon Jemie Lai tetap berasa bangga dan puas biarpun terpaksa akur meraih gelaran naib juara Terbuka China 2024.
Tambahnya lagi, perasaan itu hadir selepas dia dan rakan gandingannya, Goh Soon Huat telah memberikan segala-galanya dalam pertarungan akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 tersebut pada Ahad.
Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon terpaksa akur akan kehebatan beregu tuan rumah, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping sebelum disahkan tumpas dengan keputusan 21-16, 14-21 dan 17-21 dalam masa satu jam dan 12 minit.
Sebagai rekod, itu merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami Soon Huat-Shevon ketika bertemu beregu yang menduduki ranking ketiga dunia terbabit selepas berentap buat julung kalinya di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024 pada Mac lalu.
Kebanggaan dan kepuasan yang dilontarkan oleh Shevon terhadap pencapaiannya di Terbuka China 2024 dapat difahami memandangkan ini merupakan gelaran naib juara pertama di kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 dalam kariernya.
Selain itu, gelaran naib juara itu juga boleh membuatkan beregu yang menghuni ranking ke-12 ini tersenyum lebar dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$70,000 atau bersamaan sekitar RM292,000.
Bukan itu sahaja, Soon Huat-Shevon turut memungut 11,500 mata dan pasangan yang merupakan suami isteri ini dijangka akan kembali dalam kelompok 10 beregu campuran terbaik dunia apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini Ranking Dunia pada esok (Selasa).
Featured Image: Facebook VICTOR