3 Kelab Liga Super Didenda RM15,000 – Tidak Serah Laporan Kewangan Fasa 2 FFP
Hafiz Omar

Tiga buah kelab dikenakan hukuman denda sebanyak RM15,000 masing-masing berikutan gagal menyerahkan laporan kewangan Fasa 2 Financial Fair Play (FFP).
Denda tersebut dijatuhkan oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) FPP dengan serta-merta kepada kelab-kelab yang tidak dinamakan tersebut sebagaimana dikongsikan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) pada hari ini.
Denda itu diumumkan 30 hari selepas dikenakan denda yang pertama iaitu sekatan perpindahan pemain sebelum jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia musim 2024-25.
Menurut FIB FFP, ketiga-tiga kelab itu gagal menyerahkan laporan kewangan Fasa 2 kerana mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS.
“Oleh yang demikian, tiga kelab ini perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran untuk tunggakan bayaran gaji (pemain, pengawai dan pentadbiran) dan agensi kerajaan (KWSP, LHDN, PERKESO & SIP) dalam masa tempoh 30 hari selewatnya sebelum atau pada 25 Oktober 2024.”
“Kegagalan, keengganan dan/atau kecuaian tiga kelab ini untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan di atas maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya.” tulis kenyataan FIB FFP itu lagi.”
Sementara itu, sepuluh buah kelab lain lagi berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.
Untuk pengetahuan semua, MFL tampil mengumumkan pelaksanaan FFP bermula saingan Liga Malaysia 2024-25 dengan tahun pertama dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai selain meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.
FFP yang dilaksanakan ini disesuaikan dengan ekosistem bola sepak tanah air serta merujuk FFP kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).