Terbuka Denmark: Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun Bertembung Di Pusingan 16

October 16, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong dan Tee Kai Wun bertembung sesama sendiri untuk merebut kemaraan ke peringkat suku akhir Terbuka Denmark 2024.

Pertembungan itu terhasil selepas kedua-duanya meraih kemenangan pada pusingan 32, semalam.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan keempat melakar kemenangan ke atas beregu Jepun yang menghuni ranking ke-19 dunia, Kenya Mitsuhashi dan Hiroki Okamura menerusi skor 28-16 dan 21-11 dalam tempoh masa 49 minit.

Manakala Wei Chong-Kai Wun pula berhasil menundukkan beregu England yang menduduki ranking ke-69 dunia, Callum Hemming dan Ethan Van Leeuwen dengan keputusan 21-11 dan 21-10 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Meneliti rekod pertemuan melibatkan beregu lelaki No.1 dan No.3 negara tersebut, kedua-duanya pernah bertembung sebanyak dua kali di kejohanan antarabangsa.

Rekod tersebut seimbang dengan Aaron-Wooi Yik meraih kemenangan di Terbukan India 2023 manakala Wei Chong-Kai Wun masih segar dengan kejayaan melakar kemenangan ke atas seniornya itu di Terbuka Artik 2024, pada minggu lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd