England, India Antara Yang Kecewa Badminton Disisihkan Daripada Sukan Komanwel 2026

October 25, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Pada Selasa lalu, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengumumkan hanya 10 jenis sukan sahaja dipertandingkan di Sukan Komanwel edisi ke-23 disamping mengesahkan Glasgow, Scotland sebagai hos bagi temasya yang melibatkan 74 negara anggota Komanwel pada tahun 2026.

Pengumuman 10 jenis pasukan tersebut menyaksikan badminton, sukan yang telah menjadi sebahagian daripada Sukan Komanwel sejak edisi pada tahun 1966, disisihkan oleh penganjur.

Penyisihan tersebut menerbitkan kekecewaan dan kesedihan bukan sahaja peminat sukan tempatan mahupun antarabangsa bahkan pemain-pemain badminton serta badan-badan induk badminton kebangsaan dan antarabangsa.

Antara yang melontarkan kekecewaan tersebut ialah Badminton England menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasminya.

“Saya sangat kecewa mendengar berita yang badminton tiada menjadi sukan (dipertandingkan) di Sukan Komanwel 2026,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Badminton England, Sue Storey.

Sementara itu, Setiausaha Agung Badminton India, Sanjay Mishra pula terkejut dengan pengumuman tersebut dan memprotes keputusan tersebut disamping akan berhubung dengan kesemua pihak berkenaan di Komanwel dan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).

Pada masa yang sama, BWF menerusi satu pengumuman memaklumkan akan bekerja erat dengan CGF untuk memastikan badminton kembali menjadi salah satu sukan yang dipertandingkan pada edisi tahun 2030.

Untuk makluman, penganjuran Sukan Komanwel 2026 terpaksa dikecilkan skala penganjurannya serta memendekkan penyenaraian sukan yang dipertandingkan berikutan pendanaan yang terhad dan menggunakan fasiliti sedia ada sahaja.

Glasgow, Scotland tampil menjadi hos selepas Victoria, Australia yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2026 namun membuat keputusan untuk menarik diri pada pertengahan Julai 2023.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd