Korea Masters: Hanya Dua Beregu Lelaki Negara Ke Pusingan 16
Hafiz Omar

Hanya dua daripada tujuh beregu lelaki negara melangkah ke pusingan 16 dalam kejohanan Korea Masters 2024 yang mereka sertai bermula semalam.
Dua beregu yang berjaya meneruskan langkah ke pusingan berikutnya dalam salah satu siri kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 ini adalah gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan beregu No.1 negara terlebih dahulu mengesahkan kemaraan setelah melakar kemenangan ke atas Chiang Chien-Wei dan Wei Chun Wei dari Chinese Taipei menerusi skor 12-21, 21-18 dan 21-17 pada pusingan 32.
Sementara itu, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong mengikuti jejak langkah yang sama apabila merakamkan kemenangan ke atas beregu Korea, Song Hyun Cho dan Jin Sung Ik menerusi skor 21-17, 18-21 dan 19-21 pada hari ini.
Pada pusingan berikutnya, Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan akan menantikan cabaran daripada beregu Chinese Taipei, Wi Hsuan-yi dan Wei Chun Wei atau beregu Korea, Ko Sung Hyun dan Shin Baek Cheol.
Sementara itu, Hang Yee-Eng Cheong pula akan berhadapan dengan pilihan kedua kejohanan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan untuk merebut tiket kemaraan ke peringkat suku akhir.
Keputusan bagi lima beregu lelaki negara yang lain adalah seperti berikut:
- Lim Tze Jian dan Wong Tien Ci kalah di tangan beregu Korea, Ko Sung Hyun dan Shin Baek Cheol 16-21, 21-15 dan 8-21.
- Boon Xin Yuan dan Goh V Shem kalah di tangan beregu Korea, Na Sung Seung dan Shin Tae Yang 21-17, 20-22 dan 11-21
- Kang Khai Xing dan Aaron Tai kalah di tangan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Daniel Marthin secara “straight set” 20-22 dan 17-21.
- Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal tewas kepada beregu Chinese Taipei, Lu Chen dan Po Li-wei menerusi skor 11-21, 21-10 dan 17-21
- Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong tewas kepada beregu Chinese Taipei, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan menerusi skor 21-15, 18-21 dan 15-21.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia