Sergio Aguero, Natxo Insa Kembali Dipanggil Sertai Harimau Malaya
Hafiz Omar

Pemain naturalisasi iaitu Sergio Aguero dan pemain berdarah campuran, Natxo Insa kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Laos dan India pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada November 2024.
Kali terakhir Aguero beraksi buat Harimau Malaya adalah ketika turun menentang India pada perlawanan Pesta Bola Merdeka 2023 manakala Natxo pula tampil buat kali terakhir ketika menentang Bahrain dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.
Selain itu, skuad Harimau Malaya pada kali ini turut diperkuatkan dengan kehadiran semula kapten, Dion Cools yang tidak menyahut panggilan negara pada bulan lalu berikutan urusan keluarga serta Mukhairi Ajmal, Ubaidullah Shamshul Fazili dan Haziq Nadzli.
Kehadiran enam pemain baharu ini diumumkan sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepertimana disiarkan di laman sesawang rasminya, pada hari ini.
Sementara itu, 20 pemain lain pula merupakan pemain yang sama dipanggil oleh ketua jurulatihnya, Pau Marti pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Oktober 2024 ketika berhadapan New Zealand.
Untuk makluman semua, Pau akan mengadakan latihan pusat selama dua hari di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 10hb (Ahad) dan 11hb (Isnin) November sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand pada 12hb (Selasa) November.
Harimau Malaya akan turun menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok pada 14hb (Khamis) November. Selepas itu, Pau dan anak-anak buahnya akan terus terbang untuk perlawanan menentang Indian pada 18hb (Isnin) November di Stadium Gachibowli, Hyderabad.
Kedua-dua perlawanan tersebut merupakan Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Featured Image: FAM