Cheah Liek Hou, Soh Wooi Yik Terima Ganjaran Bernilai RM15,000 Daripada KLBA
Hafiz Omar

Dua pemain badminton negara kelahiran Kuala Lumpur yang membawa pulang pingat daripada temasya Paralimpik dan Sukan Olimpik baru-baru ini menerima ganjaran berupa wang tunai daripada Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).
Pemain yang dimaksudkan itu adalah perseorangan para negara, Cheah Liek Hou dan pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik.
Menerusi satu majlis yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Liek Hou yang membawa pulang pingat emas keduanya daripada temasya Paralimpik menerima habuan sebanyak RM10,000 daripada KLBA.
Sementara itu, Soh Wooi Yik yang berhasil mempertahankan pingat gangsanya di Sukan Olimpik bersama Aaron Chia pula menerima ganjaran berjumlah RM5,000.
Bukan itu sahaja, kedua-dua pemain yang berusia 36 dan 26 tahun masing-masing ini turut mendapat panel solar yang ditaja oleh Solaroo.
Selain itu, KLBA turut meraikan dua jurulatih kebangsaan iaitu Hoon Thien How yang membimbing beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan serta Nova Amanda yang menjadi jurulatih kepada Liek Hou dengan pemberian insentif sebanyak RM2,000 masing-masing.
Menurut Presiden KLBA, Dato’ Sri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunos, pemberian insentif ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada persatuan kepada pemain dan jurulatih yang merupakan alumni sekaligus menjadi bukti KLBA sentiasa di landasan terbaik untuk melahirkan pemain-pemain badminton bertaraf dunia.
Malah, ia diharap menjadi pembakar semangat kepada generasi muda ketika ini untuk berusaha dengan sebaik mungkin dan menjadi bukti kerja keras daripada KLBA untuk membangunkan bakat baharu serta menghargai jasa dan perjuangan mereka andai berjaya melakar kejayaan.
Featured Image: KL Badminton Association