Jelajah Dunia Akhir: Pemain No.6 Dunia Ganti Viktor Axelsen

December 3, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Senarai pemain yang akan merebut kejuaraan kategori perseorangan lelaki bagi saingan Jelajah Dunia Akhir 2024 mengalami perubahan pada saat-saat akhir.

Ini berikutan juara bertahan merangkap pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali berturut-turut, Viktor Axelsen mengumumkan menarik diri pada hari ini.

Pengumuman yang dilakukan menerusi akaun X peribadinya, penarikan diri itu dilakukan berikutan masalah kecederaan kaki kirinya dan Axelsen dinasihatkan untuk melakukan tindakan segera agar dapat mengelakkan masalah jangka masa panjang.

Axelsen yang menjuarai saingan Jelajah Dunia Akhir sebanyak lima kali sebelum ini turut menyatakan kekecewaannya ekoran tidak dapat beraksi di kejohanan yang akan berlangsung di Hangzhou bermula 11hb hingga 15h Disember kelak.

Berikutan kekosongan yang ditinggalkan oleh Axelsen tersebut, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan pemain No.6 dunia dari China, Li Shi Feng disenaraikan untuk mengisinya.

Shi Feng yang baru sahaja menjuarai saingan Kumamoto Masters dipilih berikutan menghuni tangga kelapan dalam Ranking Jelajah Dunia BWF 2024 hasil mengumpul 73,100 mata.

Untuk makluman, tujuh pemain yang telah melayakkan diri untuk berentap dalam kategori perseorangan lelaki di Jelajah Dunia Akhir 2024 ialah Anders Antonsen (Denmark), Shi Yu Qi (China), Chou Tien Chen (Chinese Taipei), Kodai Naraoka (Jepun), Kunlavut Vitidsarn (Thailand), Lee Zii Jia (Malaysia) dan Jonatan Christie (Indonesia).

Sebagai tambahan, majlis undian bagi peringkat akan dilangsungkan pada 7hb Disember (Sabtu) bermula jam 11 pagi (waktu China).

Featured Image: BWF

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd