Bekas Ketua Jurulatih JDT Beri Bayangan Kemudi Harimau Malaya?
Hafiz Omar

Adakah individu yang membimbing Johor Darul Ta’zim menjulang empat trofi pada musim 2023 iaitu Esteban Solari akan menjadi ketua jurulatih baharu skuad senior bola sepak kebangsaan?
Jurulatih berusia 44 tahun kelahiran Rosario, Argentina itu baru sahaja bergelar ejen bebas susulan berpisah dengan majikannya, Everton de Vina del Mar yang berpangkalan di Chile.
Semalam, pemegang lesen kejurulatihan Profesional UEFA itu membuat satu hantaran menerusi akaun Instagram peribadinya merakamkan penghargaan kepada barisan pengurusan, barisan kejurulatihan, staf, pemain-pemain dan para penyokong Everton.


Menariknya, di ruangan komen, terdapat beberapa penyokong dari Malaysia yang meninggalkan komen seperti “jurulatih skuad kebangsaan Malaysia”, “selamat kembali ke rumah”, “selamat datang ke Harimau Malaya, coach” dan lain-lain lagi mendapat tanda suka (like) daripada Solari sendiri.


Sepertimana ramai ketahui, jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya pada ketika ini dipangku oleh Pau Marti selepas Kim Pan-gon meletakkan jawatannya sekitar pertengahan Julai lalu.
Susulan perletekan jawatan Pan-gon itu, barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan akan mencari individu baharu untuk mengisi jawatan tersebut selain memberikan peluang kepada Pau Marti untuk memangku jawatan terbabit sehingga tamat saingan Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF).
Sebagai rekod, Solari yang merupakan adik kepada Santiago Solari, Pengarah Bola Sepak Real Madrid, diperkenalkan sebagai ketua jurulatih JDT pada Januari 2023 namun jodohnya berakhir pada penghujung musim tersebut atas alasan JDT mahu mengurangkan perbelanjaan kelab.
Featured Image: Facebook Esteban Solari