Kelab Dari Perlis, GSA FC Juarai Liga A2 Piala Al-Ikhsan – Raih RM50,000
Hafiz Omar

Kelab Bola Sepak Guar Syed Alwi (GSA FC) dari Perlis muncul juara Liga A2 Piala Al-Ikhsan 2024 selepas berjaya menundukkan pasukan pilihan, Kelab Bola Sepak Wan Tendong Stable Kelantan (Kelantan WTS FC) dengan keputusan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
Terdahulu, tiada apa yang memisahkan kedua-dua pasukan bimbingan Mohd. Firdaus Abdul Rahman dan Che Saupi Ibrahim masing-masing selepas beraksi selama 120 minit permainan di Stadium UiTM, Shah Alam sambil disaksikan seramai 1,117 penonton yang hadir.
Pada babak pertama, WTS FC yang dibarisi dengan beberapa bekas pemain Liga Super terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Fakhrul Zaman (18’) sebelum GSA FC menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disudahkan dengan cemerlang oleh Faizal Kadir (32’).

Kedua-dua pasukan menamatkan babak pertama dan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan yang seimbang 1-1.
Bersambung babak kedua, WTS FC sekali lagi berjaya mendahului permainan apabila kesilapan pemain gantian GSA FC, Arif Nadzman memasukkan bola ke dalam gawang sendiri (73’).
Akan tetapi, GSA FC berhasil menafikan jaringan terbabit di penghujung waktu permainan sebenar menerusi rembatan daripada Muhaimin Shahab (89’) sekaligus mengikat WTS FC dengan kedudukan 2-2.
Selaku juara, penganjur iaitu Amateur Football League (AFL) menghadiahkan GSA FC dengan ganjaran bernilai RM50,000 selain membawa pulang trofi kejuaraan sementara naib juara, WTS FC pula menerima wang tunai sebanyak RM30,000.
Featured Image: AFL