Pau Marti Cemburu Penyokong Memenuhi Stadium Ketika Menentang Kemboja
Hafiz Omar

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente ternyata cemburu dengan kehadiran ramai penyokong ke Stadium Nasional Phnom Penh memberikan sokongan kepada skuad Kemboja ketika berhadapan Malaysia pada aksi pembukaan Piala ASEAN 2024, Ahad lalu.
Dianggarkan sekitar 25,000 penyokong turun ke stadium menyaksikan pasukan kesayangan mereka yang kini dibarisi dengan beberapa pemain naturalisasi mengikat Malaysia dengan keputusan 2-2.
Jurulatih berusia 41 tahun terbabit mengharapkan penyokong-penyokong Malaysia dapat turun secara beramai-ramai dan memberikan sokongan sekaligus menaikkan motivasi kepada skuad berjulukan Harimau Malaya.
Oleh demikian, Pau Marti mahu menjadikan aksi menentang Timor Leste, yang menghuni ranking ke-196 dunia, pada malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai medan buat Harimau Malaya menampilkan persembahan yang lebih garang dan mengharapkan ianya dapat menarik peminat untuk turun pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A, menentang Singapura pada 20h Disember (Jumaat) kelak.

“Sangat penting, sangat penting (dapatkan tiga mata), ini bukan perlawanan persahabatan, ini merupakan kejohanan, kita mahu mara lebih jauh dan kami perlu kutip tiga mata,”
“Perlawanan terdahulu menentang Kemboja, saya fikir kita terlepas peluang untuk mengutip tiga mata, ia merupakan perlawanan yang mencabar, suasana yang sangat baik, harapnya kita dapat mengadakan suasana sebegitu di sini di stadium kita,”
“Sasaran utama apabila kita beraksi menentang Singapura pada perlawanan akhir (peringkat kumpulan), kita mempunyai penyokong yang penuh di stadium menyokong kita,”
“Sudah tentu kita mahu menang, tapi kita juga mahu beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya dalam sidang media praperlawanan yang turut dihadiri oleh kapten, Dominic Tan.
Untuk makluman, Malaysia kini berada di tangga ketiga berkongsi mata, jumlah gol, jumlah bolos dan perbezaan gol dengan Kemboja yang diletakkan di tangga kedua Kumpulan A.
Sementara itu, Timor Leste bimbingan Simon Elissetche pula bakal turun menentang Harimau Malaya dengan luka yang masih tidak terubat selepas dibantai juara bertahan, Thailand dengan keputusan 0-10 pada perlawanan pertama.
Sepak mula Malaysia dan Timor Leste pada malam ini dijadualkan pada jam 9 malam dan ianya boleh disasksikan secara langsung menerusi Astro.
Featured Image: FAM