Presiden Prabowo Suntik Dana RM77 Juta Kepada Timnas Indonesia & PSSI

December 13, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan Indonesia serta badan induknya, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) menerima durian runtuh daripada presidennya, Jeneral (B) Prabowo Subianto.

Menerusi satu perkongsian oleh Presiden PSSI, Erick Thohir, dimaklumkan, Prabowo telah memperuntukkan sekitar RM77 juta untuk kegunaan skuad berjulukan Garuda dan program-program oleh PSSI bermula Januari 2025.

“Terima kasih kepada Bapak Presiden TNI (B) Prabowo Subianto atas alokasi dana sebesar Rp277 miliar untuk Tim Nasional Indonesia dan program PSSI yang rencananya mulai cair pada Januari 2025.”

“Komitmen Bapak Presiden terhadap kemajuan sepak bola Indonesia benar-benar luar biasa.” kongsi Erick yang juga Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Menurut laporan-laporan media dari negara jiran tetangga itu, peruntukan terbabit akan disalurkan secara berperingkat untuk meningkatkan prestasi skuad Garuda serta membiayai program latihan skuad pelbagai lapisan umur serta skuad wanita.

Pada masa yang sama, Erick turut memaklumkan program latihan untuk skuad kebangsaan bagi setahun berikutnya turut mendapat sokongan kewangan daripada pihak swasta berjumlah dari RM139 juta hingga RM166.8 juta (Rp500 miliar hingga Rp600 miliar).

“Bismillah, dengan dukungan penuh dari Bapak Presiden dan Pemerintah Indonesia kita bawa Garuda Mendunia” tambahnya lagi.

Sebagai perbandingan, skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya serta skuad pelapis juga diberikan sokongan kewangan sebanyak RM15 juta oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd