Jelajah Dunia Akhir: Tang Jie-Ee Wei Terlepas Wang Tunai RM935,130
Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Cheng Tang Jie dan Toh Ee Wei terpaksa akur terlepas ganjaran wang tunai lumayan sebanyak RM935,130 serta gelaran juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 apabila tumpas di tangan pemenang emas Olimpik dari China, Zheng Si Wei & Huang Ya Qiong dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada hari ini.
Bukan itu sahaja, Tang Jie-Ee Wei turut terlepas peluang untuk mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama Malaysia menjuarai kejohanan tersebut sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2018 susulan tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-14 dan 17-21.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei tidak memberikan kemenangan mudah buat Si Wei-Ya Qiong yang juga merupakan juara tiga kali Jelajah Dunia Akhir BWF dan tiga kali Kejohanan Dunia BWF terbabit dengan memberikan tentangan sengit selama 75 minit di dalam gelanggang.
Keputusan pada hari ini menjadikan Tang Jie-Ee Wei telah tumpas sebanyak lima kali di tangan Si Wei-Ya Qiong sepanjang mereka bertembung di pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.
Untuk makluman, selaku naib juara, Tang Jie-Ee Wei tetap boleh tersenyum lebar dengan ganjaran wang tunai yang tidak kurang lumayannya iaitu sebanyak AS$100,000 atau bersamaan sekitar RM445,300 serta pungutan 12,000 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia.
Sebagai tambahan, sejak diperkenalkan pada tahun 2018, Tang Jie-Ee Wei merupakan beregu campuran pertama yang menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Akhir BWF dan bergelar naib juara.
Sebagai rekod, ini merupakan pencapaian terbaik dan tertinggi pernah diraih Tang Jie-Ee Wei sejak mereka bergandingan bersama sekitar penghujung tahun 2022.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia