Kedah Darul Aman FC Nafi Tarik Diri, Sertai Liga Semi-Pro

December 19, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air yang menghuni tangga kesembilan Liga Super, Kedah Darul Aman FC akan terus mewarnai kancah bola sepak tertinggi tanah air pada musim hadapan.

Bukan itu sahaja, skuad berjulukan Sang Kenari itu juga tidak akan turun saingan separa profesional Liga A1 Semi-Pro anjuran Amateur Football League (AFL).

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.

“Pihak Kedah Darul Aman FC tidak pernah menghantar surat mengenai hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Super dan beralih ke saingan Liga A1 Semi-Pro.” tulis kenyataan terbabit.

Sebelum ini, terdapat media tempatan melaporkan sebuah pasukan yang tidak dinamakan namun berstatus gergasi dalam arena bola sepak tanah air akan menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan.

Malah, laporan itu mendapat perkhabaran bahawa pasukan berkenaan yang pernah menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia telah pun menghantar surat kepada Malaysian Football League (MFL) untuk tujuan berkenaan.

Semalam, Kedah Darul Aman FC mula dikaitkan sebagai pasukan yang menghantar surat untuk menarik diri daripada saingan Liga Super dan menyertai Liga A1 Semi-Pro.

“Pihak pengurusan kelab memohon agar pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu tersebut supaya memohon maaf kerana ia telah menjatuhkan reputasi kelab.”

“Semua pihak, termasuk media semasa atau pihak wartawan agar lebih sensitif dalam memberi kenyataan supaya tidak cenderung ke arah menyebarkan maklumat palsu dan mencipta persepsi yang tidak baik kepada kelab.” tambah kenyataan itu lagi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd