Beregu No.2 Negara Ada Bincang Nama Jurulatih, Terserah Kepada BAM
Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki No.2 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengakui mencadangkan beberapa nama pilihan mereka untuk dilantik sebagai Ketua Jurulatih Beregu Lelaki bagi menggantikan kekosongan yang akan ditinggalkan oleh Tan Bin Shen bermula 13hb Januari 2025.
Namun begitu, Aaron memaklumkan keputusan akhir untuk memutuskan individu manakah yang akan dipilih untuk mengisi kekosongan tersebut terletak di dalam tangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Ada bincanglah (pemilihan ketua jurulatih beregu lelaki baharu) tapi decision (keputusan) memang atas BAM-lah,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari ini.
Tambah Aaron lagi, beliau tidak kisah jurulatih samada jurulatih baharu itu dipilih dalam kalangan warga tempatan atau datangnya dari luar negara namun mestilah mampu membantu keseluruhan sektor beregu lelaki BAM.
Pada masa yang sama, Aaron tidak mengulas panjang mengenai keputusan mengejut Bin Shen yang akan meninggalkan BAM selepas selesainya saingan Terbuka Malaysia 2025 dan akan menyertai sebuah badan induk badminton di luar negara – sepertimana didedahkan oleh Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh – dan menganggap keluar masuk jurulatih sebagai lumrah dalam dunia badminton.
Katanya lagi, dia dan Wooi Yik mengetahui hasrat Bin Shen yang membimbing mereka menjuarai Kejohanan Dunia BWF dan pingat gangsa Sukan Olimpik untuk meninggalkan BAM selepas berakhirnya cabaran Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, baru-baru ini.
Featured Image: BAM