Penggantungan KAFA Tak Beri Kesan Kepada Kelantan Red Warrior FC

December 24, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perkhabaran mengenai penggantungan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak memberi kesan terhadap komitmen dan usaha kelab baharu, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) kembali ke kancah Liga Malaysia.

Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menjelaskan usahama antara KRW FC dan KAFA serta permohonan untuk bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro kepada Amateur Football League (AFL) telah berlaku sebelum 21hb Disember.

Namun begitu, berita penggantungan KAFA oleh FAM itu tetap mengejutkan Nik Hafiz dan pihak KRW FC.

Untuk makluman, KRW FC dilancarkan secara rasmi pada Sabtu lalu bagi menggantikan Kelantan FC yang dimilik Norizam Tukiman serta menggunakan logo yang diinspirasikan daripada logo skuad The Red Warriors di zaman kegemilangannya lalu.

Perancangan terdekatnya adalah beraksi dalam kancah separa profesional negara iaitu Liga A1 Semi-Pro dengan membariskan pemain-pemain tempatan serta bergerak dengan bajet yang sederhana.

Semalam, FAM telah menghantar notis penggantungan KAFA selaku ahli gabungannya menerusi satu surat kepada Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman.

Surat itu dihantar setelah Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis telah bersetuju dengan cadangan tindakan yang telah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.

Menurut FAM, keputusan untuk menggantung KAFA ini dibuat berdasarkan kepada surat FAM bertarikh 21hb Disember kepada KAFA berikutan aduan tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Sesi 2024-2028.

Antaranya, Persatuan Bola Sepak Pasir Puteh dan Persatuan Bola Sepak Jajahan Jeli (Baru) tidak dibenarkan hadir ke Kongres KAFA Ke-65 dan tidak terlibat dalam pemilik Jawatankuasa Eksekutif KAFA 2024-2028 sedangkan mereka merupakan ahli gabungan yang sah.

Selain itu, prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA tersebut tidak dibuat dengan teratur dan tidak mengikut prosedur-prosedur yang betul seperti Notis Kongres yang dikeluarkan kepada ahli-ahli KAFA tidak ditandatangani oleh Setiausaha Agung dan Penyata Kewangan KAFA adalah meragukan.

Featured Image: Facebook Nik Hafiz Nik Hassan

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd