Saintis Sukan Australia Isi Jawatan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya

January 2, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Sekitar penghujung Disember lalu, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang mempelopori idea penstrukturan baharu skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya memaklumkan akan disertai seorang doktor berpengalaman yang pernah bersama skuad Piala Dunia FIFA.

Teka-teki mengenai individu tersebut terjawab pada hari ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamakan saintis sukan dari Australia, Dr. Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan – jawatan baharu dalam penstrukturan baharu skuad Harimau Malaya.

Dr. Craig mempunyai pengalaman bersama dua buah pasukan kebangsaan iaitu Australia dan Iran disamping beberapa buah kelab seperti Sydney FC, Western Sydney Wanderers FC dan badan induk, Football New South Wales (NSW).

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan & Senaman dari Universiti of Sydney ini turut mempunyai beberapa pengalaman profesional seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Performance Intelligence Agency, Penasihat Elite Performance Partners, Pensyarah Kanan Senama & Sains Sukan Australian Catholic University dan Ketua Sains Sukan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA).

Dimaklumkan, Dr. Craig yang turut mempunyai Ijazah Sarjana Kepimpinan daripada Deakin University ini akan memulakan khidmatnya secara rasmi bersama FAM pada bulan ini. 

Sebagai rekod, Dr. Craig menjadi individu keempat yang diperkenalkan oleh FAM bagi mengisi jawatan-jawatan dalam penstrukturan baharu skuad kebangsaan selepas Peter Cklamovski (Ketua Jurulatih Skuad Senior), Nafuzi Zain (Ketua Jurulatih Skuad B-23) dan Rob Friend (Ketua Pegawai Eksekutif).

Featured Image: Football NSW

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd