RTM Siar Secara Langsung Terbuka Malaysia 2025
Hafiz Omar
Para peminat sukan badminton yang tidak berkesempatan untuk bertandang ke Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyaksikan saingan Terbuka Malaysia 2025 boleh menontonnya secara langsung dan percuma menerusi televisyen, tablet mahupun telefon pintar masing-masing.
Perkembangan mengenai siaran langsung salah satu siri kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 itu disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi akaun X peribadinya, hari ini.
Difahamkan, siaran langsung itu akan disajikan oleh stesen televisyen milik kerajaan itu menerusi saluran TV Okey sepanjang enam hari kejohanan itu berlangsung – 7hb hingga 12hb Januari.
Saingan kali ini menyaksikan penglibatan beberapa jaguh badminton negara dan pemain tempatan seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Goh Jin Wei, Goh Sze Fei & Nur Izzuddin, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie & Toh Ee Wei dan lain-lain lagi.
Untuk makluman, saingan kali ini menjanjikan ganjaran wang tunai sebanyak AS$1,450,000 (bersamaan sekitar RM6.49 juta) secara keseluruhan – meningkat AS$150,000. berbanding edisi tahun lalu
Menurut penganjur, juara bagi kategori perseorangan dan beregu akan membawa pulang AS$101,500 (±RM454,466) dan AS$107,300 (±RM480,435) masing-masing.