Terbuka Malaysia: Pemain No.3 China Singkir Jun Hao
Hafiz Omar

Tiada kelibat perseorangan lelaki negara bermula di pusingan 16 Terbuka Malaysia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Ini berikutan satu-satunya wakil negara dalam kategori tersebut, Leong Jun Hao telah tewas di tangan pemain No.3 China, Lu Guang Zu ketika berentap di pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertembungan tersebut, Jun Hao, 25 tahun, yang berada di ranking ke-29 tewas kepada Guang Zu yang menghuni ranking ke-16 menerusi skor 17-21, 21-16 dan 13-21 dalam masa hampir satu jam dan 20 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan sulung melibatkan Jun Hao dan Guang Zu di pentas kejohanan antarabangsa.
Guang Zu, 28 tahun, yang mara ke pusingan 16 akan bertemu rakan senegaranya merangkap pemain No.1 dunia, Shi Yu Qi untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Terdahulu, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia sepatutnya turut menyertai saingan ini namun pasukannya, Team LZJ memaklumkan pemain berusia 26 tahun terbabit menarik diri berikutan kecederaan buku lali pada kaki kirinya belum pulih sepenuhnya.
Featured Image:Â BAM