Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik Tempah Tiket Pusingan 16
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.2 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik antara yang bernasib baik tidak terkandas awal dalam saingan Terbuka Malaysia 2025 sebagaimana beberapa beregu lain yang diletakkan sebagai pilihan kejohanan.
Antaranya gandingan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark, pilihan pertama), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (Malaysia, pilihan ketiga), Fajar Alfian-Rian Ardianto (Indonesia, pilihan keempat) dan He Ji Ting-Ren Xiang Yu (China, pilihan keenam).
Gandingan pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu berhasil melakar kemaraan selepas berjaya melepasi cabaran daripada beregu Amerika Syarikat yang menghuni ranking ke-37 dunia, Chen Zhi Yi dan Presley Smith pada pusingan 32, sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak datang bergolek dengan mudah dimana Aaron-Wooi Yik terpaksa mengharungi tiga set permainan terlebih dahulu sebelum menoktahkan perlawanan menerusi skor 21-15, 16-21 dan 21-10 dalam masa hampir satu jam lamanya.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan sulung melibatkan Aaron-Wooi Yik dan Zhi Yi-Smith di pentas kejohanan antarabangsa lebih-lebih lagi Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Sementara itu, selaku pemenang, Aaron-Wooi Yik akan menantikan cabaran daripada salah satu beregu Chinese Taipei samada Liu Kuang Heng-Yang Po Han atau Lee Fang-chih dan Lee Fang-jen pada pusingan 16.
Pertembungan itu akan menentukan kemaraan ke peringkat suku akhir.
Featured Image: BAM