Terbuka Malaysia: Yew Sin-Ee Yi Ke Suku Akhir, Singkir Gandingan Baharu Korea
Hafiz Omar

Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menjadi satu lagi wakil negara yang berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Pasangan yang kini menghuni ranking ke-24 dunia itu mara selepas menumbangkan beregu dari Republik Korea yang baru digandingkan bersama iaitu Jin Yong dan Kang Min-hyuk pada pusingan 16, sebentar tadi.
Pertarungan yang berlangsung sengit selama hampir satu jam dan 10 minit itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi terlebih dahulu meraih kemenangan pada set pertama menerusi skor 23-21 sebelum Jin-Kang bangkit mencatatkan kemenangan 21-16 pada set kedua.
Mujurlah pada set ketiga, Yew Sin-Ee Yi berhasil mendapatkan semula rentaknya dan menoktahkan permainan menerusi skor 21-18.
Kemenangan ini juga menyaksikan Yew Sin-Ee Yi mengulangi kemaraan ke peringkat suku akhir pada Terbuka Malaysia pada tahun lalu.
Bagi perlawanan berikutnya, Yew Sin-Ee Yi akan bertemu samada beregu senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong atau beregu India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty untuk merebut slot ke separuh akhir.
Featured Image: BAM