Terbuka Malaysia: Beregu Lelaki No.3 Negara Kejutkan Pilihan Kelapan Kejohanan

January 9, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun julung kalinya berhasil menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir dalam saingan Terbuka Malaysia – Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Lebih mengagumkan, Wei Chong-Kai Wun melangkah ke peringkat tersebut dengan menumpaskan pilihan kelapan kejohanan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan pada pusingan 16, sebentar tadi. 

Gandingan pemain berusia 25 dan 25 tahun masing-masing itu melakar kemenangan ke atas Jhe-huei dan Po-hsuan yang berada di ranking kesepuluh dunia “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-13 dalam sama 31 minit.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan ketiga mereka di pentas antarabangsa. Kemenangan pada hari ini merupakan yang kedua dicatat oleh Wei Chong-Kai Wun ke atas Jhe-huei dan Po-hsuan.

Pada peringkat suku akhir, Wei Chong-Kai Wun akan membuat perhitungan samada beregu Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Verstergaard atau beregu Perancis, Christo Popov dan Toma Junior Popov untuk merebut slot ke peringkat separuh akhir.

Sebagai tambahan, ini merupakan kali keempat Wei Chong-Kai Wun menyertai saingan Terbuka Malaysia dan tiga penyertaan dalam tiga edisi terdahulu berakhir setakat pusingan 32 sahaja. 

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd