Terbuka Malaysia: Beregu No.18 Dunia Kekang Wei Chong-Kai Wun Ke Pentas Akhir

January 11, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Tiada sebarang kelibat wakil negara akan beraksi di perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2025.

Selepas kedua-dua beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai serta Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei tersekat di peringkat separuh akhir, beregu lelaki No.3 tanah air, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut mengikuti jejak langkah yang sama.

Hasrat Wei Chong-Kai Wun untuk melangkah ke perlawanan akhir Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini dipatahkan oleh beregu China yang menduduki ranking ke-18 dunia, Chen Bo Yang dan Liu Yi.

Pertembungan sengit yang berlangsung selama satu jam dan 17 minit itu berakhir dengan Wei Chong-Kai Wun tewas menerusi tiga set permainan berskor 26-24, 16-21 dan 15-21.

Keputusan itu bukan sahaja mengekang Wei Chong-Kai Wun ke perlawanan akhir tetapi turut membolehkan Bo Yang-Yi membalas dendam terhadap kekalahan ketika bertembung buat julung kalinya di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024.

Penyingkiran Wei Chong-Kai Wun juga menandakan kemarau kemaraan beregu lelaki negara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia berterusan sejak gandingan Goh V Shem dan Lim Khim Wah mara buat kali terakhir pada edisi tahun 2014.

Sementara itu, Bo Yang-Yi yang melangkah ke perlawanan akhir akan bertemu beregu Korea, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae untuk merebut gelaran juara bagi edisi kali ini. 

Untuk makluman, Won Ho-Seung Jae yang baru digandingkan bersama mencetak kemaraan dengan dengan menundukkan beregu No.9 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty menerusi skor 21-10 dan 21-15. 

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd