Terbuka India: Soon Huat-Shevon Ke Pusingan 16, Singkir Gandingan Baharu Indonesia
Hafiz Omar

Beregu campuran No.2 negara yang juga merupakan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berhasil memulakan kempen Terbuka India 2025 dengan langkah kanan.
Soon Huat-Shevon yang baru menginjak ranking keempat dunia pada Selasa melakar kemaraan terbabit dengan menumpaskan gandingan campuran baharu dari Indonesia iaitu Rinov Rivaldy dan Lisa Ayu Kusumawati.
Pertembungan di pusingan 32 itu menyaksikan Soon Huat-Shevon, usia 34 dan 31 tahun masing-masing, meraih kemenangan dengan bergaya menerusi skor 21-17 dan 21-17 dalam masa 36 minit.
Pada peringkat seterusnya, Soon Huat-Shevon akan membuat perhitungan dengan beregu Jepun, Yuta Watanabe dan Maya Taguchi.
Pasangan berusia 27 dan 19 tahun masing-masing yang bergandingan sejak November tahun lalu mara selepas menumbangkan beregu Malaysia, Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-15.
Sebagai rekod, pencapaian Soon Huat-Shevon dalam saingan Terbuka India edisi lalu adalah mara sehingga peringkat suku akhir.
Featured Image: BAM