Terbuka India: Yew Sin-Ee Yi Kandas Pusingan 32

January 15, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki yang bergerak secara bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mengharungi saingan musim 2025 dengan agak baik selepas berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia – kejohanan pertama disertai mereka pada tahun ini. 

Bagaimanapun, langkah itu tidak dapat diulangi di kejohanan kedua disertai mereka pada tahun ini, Terbuka India susulan tewas seawal peringkat pusingan 32 di tangan beregu No.3 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang.

Pertemuan itu berkesudahan dengan Yew Sin-Ee Yi tewas selepas bertarung tiga set permainan menerusi skor 12-21, 21-19 dan 15-21 dalam masa 41 minit bertempat di Gelanggang 2, Stadium Tertutup K. D. Jadhav.

Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan pertama dialami Yew Sin-Ee Yi di tangan Wei Keng-Chang selepas melakar kemenangan pada pertemuan lalu di Terbuka Denmark 2022.

Sementara itu, pada pusingan berikutnya, Wei Keng-Chang yang turut diletakkan selaku pilihan kedua bagi kejohanan ini akan bertemu samada beregu England, Ben Lane dan Sean Vendy atau beregu tuan rumah, Chayanit Joshi dan Mayank Rana. 

Pertembungan ini akan memberikan pemenangnya tiket kemaraan ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 750.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd