Terbuka India: Soon Huat-Shevon Menang Lagi Ke Atas Beregu Senior-Junior Jepun
Hafiz Omar

Beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai sekali lagi berhasil menumpaskan gandingan senior dan junior dari Jepun, Yuta Watanabe dan Maya Taguchi.
Soon Huat-Shevon mencetak kemenangan terbaru itu ketika berentap di pusingan 16 dalam saingan Terbuka India 2025, pada hari ini.
Pertembungan tersebut menyaksikan Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking keempat dunia pada saat ini melakar kemenangan menerusi skor 21-10, 19-21 dan 21-16 dalam masa 59 minit.
Kemenangan itu sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir buat Soon Huat-Shevon di Jelajah Dunia BWF Super 750 ini – sama seperti dicatatkan Soon Huat-Shevon dalam kempen Terbuka India 2024.
Pada peringkat seterusnya, Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pilihan keempat kejohanan akan menantikan cabaran samada daripada beregu yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, Yang Po-hsuan dan Hu Li-fang atau beregu tuan rumah yang menduduki ranking ke-53 dunia, Ashith Surya dan Amrutha Pramuthesh.
Sebagai rekod, kemenangan pertama Soon Huat-Shevon ke atas Yuta-Maya terhasil di Masters Kumamoto Jepun 2024 selepas berentap tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-12 dan 21-14.
Featured Image: Facebook VICTOR