Piala Shopee: Brendan, Safawi Optimis KL City & Terengganu FC Mara Ke Separuh Akhir
Hafiz Omar

Dua kelab yang menjadi wakil negara ke saingan Kejuaraan Kelab ASEAN atau nama komersilnya, Piala Shopee iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Terengganu FC mungkin sekada menduduki tangga ketiga dan keempat dalam kumpulan masing-masing – pada saat ini.
Namun begitu, dua pemain bintang daripada kedua-dua kelab berkenaan iaitu Brendan Gan dan Safawi Rasid optimis kelab masing-masing mampu melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir.
“Sudah pasti kami masih berpeluang meneruskan kemaraan walaupun ia kelihatan sukar. Aksi berdepan Hanoi dan Buriram (United) selepas hanya dua perlawanan yang tiada perlawanan timbal balik, jadi kami hanya perlu pastikan aksi terbaik dalam dua perlawanan itu,”
“Kuala Lumpur (City) sebelum ini adalah pakar kejohanan kerana apabila bersaing dalam kejohanan sebegini, kebiasaannya kami berjaya meraih keputusan positif,” kata Brendan semasa acara Jelajah Trofi Piala Shopee di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketika ini, KL City atau nama julukannya, The City Boys menghuni tangga ketiga Kumpulan B dengan mengutip dengan mengutip enam mata daripada tiga perlawanan hasil mencetak kemenangan ke atas Kaya FC dan Borneo FC.

Sementara itu, Safawi, pemain sayap Terengganu FC merangkap pemain skuad kebangsaan turut melontarkan harapan harapan yang sama selain menuntut rakan sepasukan menampilkan persembahan terbaik dalam baki dua perlawanan berikutnya.
“Peluang itu masih ada dan kerana itu saya harap rakan sepasukan semua bersedia mengerah segala kudrat dalam dua aksi selepas ini kerana kami amat memerlukan mata maksimum,”
“Sudah tentu kejayaan menewaskan wakil Myanmar, Shan United 5-0 di laman lawan Rabu lalu memberikan motivasi buat kami berdepan PSM (Makassar) dan juga BG Pathum United nanti,”
“Saya juga berasa lebih tenang beraksi musim ini serta turut berpuas hati dengan prestasi saya musim ini. Saya rasa lebih fokus menghadapi setiap perlawanan,” ujar Safawi.
Berbeza dengan KL City, skuad berpangkalan di pantai timur menduduki tangga keempat dengan mengumpul empat masa. Ianya berikutan Terengganu FC sekadar mencetak satu kemenangan ketika bertemu Shan United FC daripada tiga perlawanan.
Manakala satu lagi perlawanan, bertemu dengan kelab dari Vietnam iaitu Dong A Thanh Hoa FC pula berakhir dengan keputusan seri.

Bagi perlawanan berikutnya, Terengganu FC bimbingan Badrul Afzan akan melayan kunjungan PSM Makassar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Rabu dengan sepak mula pada jam 9 malam.
Sementara itu, skuad berpangkalan di ibu kota akan melayan kunjungan Cong An Ha Noi FC dari Vietnam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis juga dengan sepak mula pada jam 9 malam.