Bekas Pengurus Skuad B-17 Kebangsaan Umum Tak Tanding Jawatan Exco FAM

January 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Salah seorang daripada 18 individu yang dicalonkan untuk merebut lapan kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Individu tersebut ialah Christopher Raj Aralanthu atau lebih dikenali sebagai Chris Raj, Exco FAM penggal 2021-2025 dan penggal 2017-2021 merangkap bekas pengurus skuad bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan.

“Saya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Oktober tahun lalu dan hari ini dengan rasa dukacita saya secara rasminya mengumumkan pengunduran saya.”

“Justeru, tarikh 15 Januari lalu adalah hari  terakhir saya menunaikan tanggungjawab hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM sebagai Exco sejak 2017.”

“Selepas lapan tahun berkhidmat, diakui ini bukanlah satu keputusan yang mudah tetapi ia adalah jalan terbaik untuk saya fokus sepenuhnya kepada kerjaya hakiki,” katanya menerusi satu siaran media yang diedarkan kepada para wartawan.

Jelas Chris Raj, langkahnya membuka peluang buat rakan Exco yang lain untuk menggalas jawatan berkenaan.

“Tanggungjawab ini sememangnya indah di mata kasar namun ia datang dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar demi negara.” tambahnya.

Dalam coretan itu, Chris Raj turut merakamkan penghargaan kepada Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin, rakan-rakan Exco, rakan-rakan seperjuangan di Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) serta rakan-rakan media atas peluang, sokongan, pengalaman dan kerjasama yang diberikan.

Sepanjang menjadi Exco FAM pada penggal 2021-2025, selain dilantik Pengurus Skuad B-17 Kebangsaan, Chris Raj turut dipertanggungjawabkan selaku Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Pembangunan Ahli Gabungan FAM serta menganggotai Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) atas tiket Wakil FAM.

Featured Image: Football Association of Malaysia 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd