Fire Cage Fighting Championship Bakal Temui Peminat Pada 22 Februari
Hafiz Omar
Sebuah kejohanan sukan tempur iaitu Fire Cage Fighting Championship bakal menemui peminat seni bela diri campuran (MMA) dan sukan tempur pada 22hb Februari kelak bertempat di N9 Arena, Negeri Sembilan.
Kejohanan yang diadakan bagi mempromosikan seni bela diri campuran di Malaysia itu turut menampilkan jagoan UFC dan RIZIN yang akan merebut dua gelaran utama iaitu Kejuaraan Dunia Welterweight dan Kejuaraan Dunia Lightweight.
Bagi kategori welterweight, ianya akan menemukan legenda MMA Brazil dan veteran UFC, Gleison Tibau dengan bintang MMA Jepun, Kiichi Kunimoto.


Sementara itu, kategori lightweight pula akan menyaksikan pertarungan bekas jaguh UFC dari Brazil, Diego Nunes yang juga veteran Bellator berdepan dengan bintang Filipina merangkap juara Abu Dhabi Warriors, Rolando Dy.
Selain itu, Fire Cage Fighting Championship turut menjadualkan enam pertembungan tempatan yang diaturkan khas dimana petarung Malaysia akan berpeluang untuk berdepan lawan antarabangsa yang pastinya menjanjikan saingan hebat buat bakat MMA negara.
Keterujaan pastinya tertumpu kepada kehadiran jaguh welterweight Malaysia, Agilan Thani – dikenali sebagai bekas pencabar gelaran Dunia ONE Welterweight dan salah seorang atlet MMA yang terkenal di negara ini.
Beliau akan berdepan pencabar hebat, Garath Vaughan, seorang pejuang yang hebat dari gym SBG – sebuah lokasi terkenal di Ireland yang diketuai oleh John Kavanagh yang merupakan ketua jurulatih legenda UFC, Conor McGregor.
