Tan Sri Dato’ Hamidin Bapa Bola Sepak Moden Malaysia – Presiden Baharu FAM
Hafiz Omar

Sangat sesuai jika ada yang melabelkan atau menggelarkan mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin sebagai ‘Bapa Bola Sepak Moden Malaysia’.
Demikian ucapan oleh Presiden FAM yang baru dilantik, Datuk Mohd. Joehari Ayub Mohd. Ayub ketika berucap dalam Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 2025 yang berlangsung pada Sabtu lalu di Hotel Dorsett Grand Subang, Subang Jaya.
Menurutnya, gelaran itu layak diberikan kepada Hamidin berikutan pelbagai perkara yang dilakukan Hamidin sepanjang menjawat jawatan presiden yang memberikan impak positif buat FAM serta memajukan industri bola sepak tanah air.
“Daripada lubuk hati yang dalam ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin atas khidmat bakti dan dedikasi beliau sejak menggalas tugas sebagai Presiden FAM pada Julai 2018.”

“Dalam tempoh Tan Sri menjawat jawatan Presiden FAM, banyak yang telah beliau lakukan sehingga menjelmakan impak positif kepada pentadbiran dan pengurusan FAM sebagai badan induk bola sepak di negara ini,”
“Sesungguhnya terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang telah beliau curahkan bagi memajukan industri bola sepak Malaysia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, maka memang sesuailah jika ada yang menggelarkan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin sebagai ‘Bapa Bola Sepak Moden Malaysia’,” ucapnya selepas dilantik dan diumumkan sebagai Presiden FAM baharu secara rasmi.
Berikutan itu terdapat juga desas-desus bahawa kepimpinan FAM diketuai Joehari bagi penggal 2025-2029 akan melantik Hamidin sebagai Presiden Kehormat.
Bagaimanapun, Joehari ketika dalam sidang media selepas berlangsungnya kongres memaklumkan akan membincangkan perkara tersebut bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Apa-apa pun keputusan kita ambil nanti, kita akan bermesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan setiap Ahli Exco untuk apa-apa jasa yang kita patut (berikan) atau imbuhan yang kita berikan kepada Tan Sri (Dato’ Hamidin).” ujarnya.
Merujuk kepada Statut FAM (Edisi 2020), kongres boleh mengurniakan gelaran Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat kepada mana-mana individu kerana khidmatnya yang patut dipuji dalam bola sepak dan penamaan itu akan dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif
Untuk makluman, Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat boleh mengambil bahagian dalam Kongres serta menyertai perdebatan tetapi tidak boleh mengundi.
Sebelum ini, jawatan Presiden Kehormat itu disandang oleh Sultan Pahang Kelima, Al-Marhun KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah merangkap mantan Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014.
Sementara itu, ketika ditemui pihak media, Hamidin enggan memberikan sebarang komen lanjut mengenai pelantikannya sebagai Presiden Kehormat FAM serta perancangannya selepas daripada ini melainkan memaklumkan memberikan perhatian kepada keluarganya.
Featured Image: Football Association of Malaysia