Saya Masih Ada Komitmen Bersama FIFA, AFC & AFF Sehingga 2027 – Hamidin

February 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin mengunci mulut terhadap perancangannya selepas mengundurkan dari daripada jawatan No.1 bagi badan induk bola sepak tanah air.

Ini termasuk yang mengaitkannya untuk dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM.

Namun begitu, penglibatan Hamidin dalam arena bola sepak tidak menemui titik noktahnya. Malahan beliau akan memainkan peranan di peringkat antarabangsa dengan memberikan komitmen kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Ini berikutan Hamidin masih memegang jawatan selaku Ahli Majlis FIFA dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2023-2027 serta Ahli Majlis AFF untuk penggal 2022-2026.

“Setakat ni saya tak boleh kongsi lagi, saya dah lama tinggalkan keluarga, saya nak bersama dengan keluarga, 40 tahun saya dalam arena bola sepak, saya rasa saya melaluinya dengan menjawat semua jawatan (seperti) naib presiden, setiausaha agung dan presiden dan banyak lagi termasuk exco daripada dulu, 

“Saya rasa ini masa untuk berehat sedikit tetapi saya ada komitmen (dan) tanggungjawab sebagai FIFA Council, AFC Exco dan juga AFF Council untuk saya habiskan sampai (tahun) 2027,” katanya ketika ditemui pihak media.

Memandangkan masih mempunyai peranan dalam arena bola sepak di peringkat antarabangsa, Hamidin memberi jaminan kepada barisan kepimpinan FAM baharu dikepalai oleh Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub untuk berkongsikan sebarang pandangan atau memberikan sokongan dalam membantu memajukan bola sepak tanah air.

“Yang penting saya akan terus sokong dan bagi ‘input’ kepada FAM untuk terus (maju), 

“Tapi satu saya nak bagitahu, awak takkan dengar daripada saya untuk saya (kritik) FAM kerana saya fikir saya nak terus menyokong dan bagi pandangan,” 

“Saya nak bantu, kelemahan memang ada, di situ kita kena tingkatkan, ini tanggungjawab besar Datuk Joehari dan lain-lain untuk gilap mana yang patut untuk naikkan bola sepak negara,” tambahnya lagi.

Selain daripada jawatan dalam arena bola sepak bagi tiga badan induk peringkat antarabangsa, Hamidin juga masih memegang jawatan selaku Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2021-2025.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd