Ranking BWF: Soon Huat-Shevon Kini Beregu Campuran No.1 Negara

February 18, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Gelaran beregu campuran No.1 negara bertukar tangan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia, pada hari ini.

Menerusi kemaskini berkenaan, gandingan pemain bebas (independent) yang juga merupakan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai merekodkan peningkatan ke ranking ketiga dunia dan memintas beregu campuran No.1 negara sebelum ini, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Untuk pengetahuan semua, itu merupakan kedudukan tertinggi dalam Ranking Dunia pernah dicapai Soon Huat-Shevon dalam karier mereka.

Kenaikan itu disumbangkan oleh pertambahan 7,672 mata yang diraih Soon Huat-Shevon hasil beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 pada minggu lalu.

Pertambahan itu menjadi Soon Huat-Shevon kini memiliki 79,352 mata secara keseluruhan daripada 10 kejohanan terbaik yang disertainya dalam tempoh 52 minggu lalu.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula tidak merekodkan kejatuhan besar dalam Ranking Dunia, hanya jatuh satu anak tangga, dan kini berada di ranking keempat keempat dunia.

Pungutan mata Tang Jie-Ee Wei pula adalah sebanyak 78,140 – berbeza sebanyak 1,212 mata sahaja berbanding Soon Huat-Shevon.

Kemaskini itu juga memperlihatkan, gandingan Hoo Pang Ron dan Chen Su Yin mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai beregu campuran No.3 negara apabila merekodkan peningkatan sebanyak satu anak tangga sekaligus menghuni tangga ke-14 dunia.

Pang Ron-Su Yin menghuni tangga berkenaan hasil mengumpul 56,493 mata secara keseluruhan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd