Ranking BWF: Wei Chong-Kai Wun Hampiri Kelompok 10 Terbaik Dunia

February 18, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun semakin hampir untuk menyertai kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia bersama-sama dua pasangan seniornya, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Perkembangan itu hadir susulan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada hari ini yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun merekodkan peningkatan satu anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-11 dunia.

Menariknya, Wei Chong-Kai Wun menduduki ranking berkenaan hasil mengumpul 68,233 mata – hanya dibezakan sebanyak 233 mata dengan penghuni tangga kesepuluh dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang memiliki 68,470 mata.

Untuk makluman, peningkatan satu anak tangga oleh Wei Chong-Kai Wun itu digerakkan oleh pertambahan 7,063 mata hasil menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 yang berlangsung pada minggu lalu.

Sementara itu, kemaskini Ranking Dunia itu juga menyaksikan Sze Fei-Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik kekal di kedudukan kedua dan kelima dunia masing-masing sekaligus turut mengekalkan status mereka selaku beregu lelaki No.1 dan No.2 negara.

Tidak ketinggalan, kemaskini oleh BWF itu memperlihatkan gandingan pemain bebas (independent) senior iaitu Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi turut mencatatkan peningkatan satu anak tangga dan kini berada di ranking ke-28 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd