Ranking PSA: Sivasangari Naik Ke Tangga Ketujuh Dunia

February 19, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Sivasangari Subramaniam, pemain skuasy wanita negara, sekali lagi merekodkan kenaikan dalam Ranking Dunia sekaligus menjadi pemain skuasy wanita ketujuh terbaik dunia pada masa kini.

Kenaikan sebanyak satu anak tangga itu terhasil selepas badan induk, Persatuan Skuasy Profesional (PSA) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia, pada minggu ini.

Ia susulan penghuni tangga ketujuh dunia pada minggu lalu, Amina Orfii dari Mesir, mengalami penurunan purata mata terkumpulnya sekaligus jatuh ke tangga kelapan dunia – 699 mata.

Manakala purata mata terkumpul oleh Sivasangari pula kekal sama seperti minggu lalu iaitu sebanyak 721 mata.

Untuk makluman, ini merupakan kedudukan tertinggi pernah digapai oleh Sivasangari yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dalam Ranking Dunia sejak berkecimpung dalam arena sukan skuasy dalam kariernya.

Sebagai tambahan, Sivasangari akan menyambung kempennya pada musim ini dengan dijangka beraksi dalam dua kejohanan yang dijadualkan pada Mac kekal iaitu Terbuka New Zealand 2025 dan Terbuka Skuasy Australia 2025.

Featured Image: PSA Squash Tour Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd