Padang Stadium Darul Makmur Mula Menghijau Dengan Rumput Bermuda

February 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penanaman rumput jenis bilah halus, Bermuda Tifgrand, di Stadium Darul Makmur mula menampakkan hasil.

Menerusi satu foto yang dikongsikan oleh akaun Facebook Perbadanan Stadium PSDM pada hari ini, keseluruhan padang utama stadium terbabit kelihatan menghijau dan diliputi dengan rumput Bermuda Tifgrand – varian yang dilesenkan oleh syarikat dari Jepun.

Sebagai rekod, pihak kontraktor mula menanam benih rumput terbabit sekitar penghujung November tahun lalu. 

Penanaman itu dilakukan selepas kontrak menyiapkan kerja-kerja penambaikan sistem saliran dan memasang paip saliran bagi sistem siraman (sprinkler) yang baharu serta meratakan padang.

Untuk makluman, naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput padang di stadium berkenaan menggunakan geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM500,000.

Naik taraf dan penukaran jenis rumput ini sekaligus akan menyediakan padang yang berkualiti buat Sri Pahang FC berjulukan Tok Gajah untuk berentap dalam dalam kancah Liga Malaysia.

Menurut laporan media tempatan yang lalu, Stadium Darul Makmur dijangka akan kembali beroperasi sepenuhnya pada Mac kelak – selepas mengambil kira tempoh matang rumput Bermuda Tifgrand yang ditanam.

Featured Image: Facebook Perbadanan Stadium PSDM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd