Kerajaan Umum Peruntukan RM20 Juta Untuk Pembangunan Bakat 8 Jenis Sukan Olimpik

February 20, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) tampil mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk melakukan program pembangunan bagi lapan jenis sukan yang dipertandingkan di temasya Olimpik.

Lapan jenis sukan yang dipilih oleh MSN untuk menerima peruntukan terbabit adalah akuatik (renang), akuatik (terjun), olahraga, skuasy, berbasikal, badminton, taekwando dan memanah.

Dimaklumkan, peruntukan kepada lapan jenis sukan ini diberikan supaya dapat mengadakan laluan pembangunan bakat atau atlet yang sama seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), Program Pembangunan Bola Jaring Negara (NNDP) dan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di bawah MSN.  

Jumlah peruntukan serta pemilihan jenis-jenis sukan terbabit diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika merasmikan Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Khamis.

“Selepas kita lihat bajet yang ada di bawah Majlis Sukan Negara di bawah (program) NFDP, NHDP, NNDP dan NRDP (dimana) ini adalah untuk bola sepak, hoki, bola jaring dan ragbi (masing-masing) kita telah buat keputusan untuk buat bidaan kepada MOF (Kementerian Kewangan) untuk minta duit untuk (program) pembangunan bakat yang sama untuk lapan (jenis) Sukan Olimpik yang kita pilih,”

“Dan lapan (jenis) Sukan Olimpik itu mempunyai bakat dan potensi kerana bila kita pergi Sukan Olimpik kita nampak ramai atlet junior tidak berasa yakin (kerana tidak mendapat pendedahan yang mencukupi beraksi dalam pertandingan kompetitif) mungkin kerana kekurangan dana, (pada masa yang sama) Program Podium sahaja tidak mencukupi (dan) saya risau kita akan ketandusan atlet,”

“Jadi untuk mengatasi masalah ini kita telah diberikan RM20 juta untuk tujuan pembangunan bakat untuk pencarian bakat (talent identification) bakat-bakat di semua peringkat dihantar untuk pertandingan dan dijadikan sebagai (atlet) pelapis, daripada kolam (pool) pelapis yang besar dan awak akan mendapat atlet elit yang bagus, itu adalah hasrat kita,” katanya ketika ditemui pihak media selepas majlis perasmian bengkel terbabit.

Hannah turut memaklumkan dengan lebih awal bahawa peruntukan RM20 juta itu tidak akan diagihkan sama rata kepada lapan jenis sukan terbabit berikutan keperluan yang berbeza bagi setiap sukan.

“Ini adalah kali pertama kita mendapat dana untuk lapan sukan ini, jadi apa yang kita nak bukan MSN sendiri yang tentukan bagaimana kita nak belanjakan duit ini, kita nak pastikan jurulatih kebangsaan, pakar-pakar dan persatuan juga terlibat, jadi hari ini adalah bengkel untuk mendengar mereka,”

“RM20 juta ini tidak akan diagihkan sama rata antara lapan jenis sukan, seperti yang saya nyatakan bukan semua sukan memerlukan dana yang sama,” 

“Oleh sebab itu, hasrat kita adalah dengan adanya tambahan suntikan dana ini, lapan sukan ini akan mempunyai potensi yang lebih besar kerana mereka sekarang diberikan peluang untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan dan untuk mencungkil bakat di peringkat Malaysia, itu hasrat kita,” tambahnya.

Untuk makluman, Bengkel Pembangunan Sukan Olimpik itu dianjurkan selama dua hari (20hb dan 21hb Februari) melibatkan penyertaan pemegang-pemegang taruh seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sukan Kebangsaan. 

Bengkel itu juga merupakan inisiatif MSN untuk mendengar saranan daripada jurulatih-jurulatih dan pakar-pakar serta ruang pelbagai pemegang taruh untuk membincangkan perkara berkaitan atlet, struktur pertandingan, program binaan, petunjuk prestasi utama (KPI) serta penanda aras selain penggunaan peruntukan yang diumumkan terbabit.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd