Selangor FC Tamatkan Kemarau Kejuaraan Menerusi Trofi MFL Challenge Cup

February 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan yang turut dijuluki sebagai “King of Malaya” iaitu Selangor FC berjaya menamatkan kemarau hampir 10 tahun kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia apabila berjaya menjulang trofi MFL Challenge Cup 2024-25.

Kejuaraan itu dirangkul selepas Selangor bimbingan Kinoshi Katsuhito melakar kemenangan 7-0 secara agregat ke atas PDRM FC dalam perlawanan akhir Challenge Cup.

Pada perlawanan akhir pertama yang berlangsung pada 15hb Februari, Selangor merakamkan kemenangan 3-2 ke atas PDRM FC bertempat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagaimanapun, badan pengelola, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman ke atas PDRM FC setelah didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan, Mohd Safiee Ahmad, pada perlawanan tersebut.

Susulan daripada kesalahan itu, PDRM FC telah dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah kalah perlawanan tersebut dengan keputusan 0-3 serta didenda sebanyak RM3,000.

Sementara itu, pada perlawanan akhir kedua yang turut berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor berhasil mencetak kemenangan dengan keputusan 4-0 hasil jaringan berganda Yohandry Orozco (10’, 80’) serta Ali Olwan (4’) dan Ronnie Fernandez (80’). 

Sebagai rekod, kali terakhir Selangor menjulang trofi bagi saingan kompetitif dalam Liga Malaysia adalah pada tahun musim 2015 dengan merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33 dalam sejarahnya.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd