Terengganu FC Naik Taraf Padang Latihan – Pasang Lampu Limpah Untuk Berlatih Waktu Malam
Hafiz Omar

Skuad yang menghuni tangga keempat Liga Super iaitu Terengganu FC bakal mempunyai pilihan untuk mengadakan sesi latihannya samada petang seperti kebiasaan atau malam selepas daripada ini.
Perkembangan ini hadir selepas padang latihan utamanya, Padang C, bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak sedang dipasang dengan lampu limpah.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn. Bhd. merangkap Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Hishamuddin Abdul Karim.




“Usaha pemasangan lampu limpah ini dibuat secara dalaman untuk memastikan ruang latihan dapat dilaksanakan pada waktu malam khususnya waktu musim panas.” kongsinya menerusi pelbagai hantaran di platform media sosialnya pada hari ini.
“Begitu juga untuk penggunaan di bulan Ramadan. (Bagaimanapun, untuk (bulan) Ramadan kali ini, belum dapat digunakan sepenuhnya.” tambahnya lagi.
Sebelum ini, skuad bimbingan Badrul Afzan pernah mengadakan latihan pada waktu malam namun ianya dijalankan di gelanggang keramat, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Selain itu, Hishamuddin turut memaklumkan lampu limpah terbabit akan turut dipasang di Padang Sintetik – berhampiran dengan Padang C yang digunakan oleh Terengganu FC – untuk menghidupkan suasana aktiviti sukan di kompleks terbabit.
Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim