Penjaga Gol PDRM FC Alih Tumpuan Ke Baki Saingan Liga Super

February 25, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penjaga gol PDRM FC, Bryan See Tian Keat menganggap kekalahan di perlawanan akhir MFL Challenge Cup baru-baru ini sebagai titik kebangkitan buat diri serta rakan-rakannya pada perlawanan seterusnya. 

Bryan, 32 tahun, yang pernah berkelana ke Thailand akur dengan keputusan tewas secara agregat 7-0 selain berpendapat Selangor FC layak menjulang trofi kemenangan tersebut. 

Pada masa yang sama, Bryan menyifatkan pemain-pemain Selangor FC telah menampilkan aksi di kelas yang tersendiri selain tiga jaringan pada babak pertama perlawanan akhir kedua itu sedikit sebanyak telah menjatuhkan motivasi pemain-pemain Sang Saka Biru.

Bagaimanapun, Bryan tidak menyimpan rasa kecewa dengan berpanjangan dan mula mengalih tumpuannya kepada baki saingan Liga Super. 

“Perlawanan ini sangat mencabar bagi saya. Agak sukar untuk kita bangkit semula selepas bolos tiga gol pada separuh masa pertama, namun saya percaya semua telah lakukan sehabis baik.”

“Selepas ini, kami akan fokus untuk mendapatkan sebanyak mata yang boleh dalam Liga Super demi menaikkan kedudukan kami dalam liga.” 

“Saya percaya tahun ini, PDRM FC telah berhasil untuk melakukan kejutan dan menjadi kejutan buat pasukan-pasukan bola sepak lain, termasuk skuad yang lebih jaguh dari kami,” katanya. 

Sebagai rekod, perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup pada Sabtu lalu berakhir dengan Selangor FC meraih keputusan 4-0 hasil jaringan berganda Yohandry Orozco serta satu jaringan oleh Ali Olwan dan Ronnie Fernandez masing-masing. 

Untuk makluman, PDRM FC yang kini dibimbing oleh Eddy Gapil setelah dikhabarkan merehatkan ketua jurulatihnya, P. Maniam sedang menghuni tangga kelapan Liga Super dengan pungutan 21 mata.

Sebanyak lima perlawanan lagi bakal dihadapi PDRM FC bagi musim ini dimana perlawanan seterusnya adalah menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Ianya disusuli dengan pertembungan menentang Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC dan terakhir Sabah FC. 

Berdasarkan pemerhatian, PDRM FC berpeluang untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok lima teratas sekiranya berhasil melakar kemenangan kelab ke atas kelab yang berada di tangga bawahnya serta mengelakkan kekalahan ketika bertemu KL City dan Sabah FC.

Featured Image: PDRM Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd