Klinik NSL Tarik Hampir 700 Peserta Di Empat Lokasi
Hafiz Omar

Seramai hampir 700 orang peserta secara keseluruhan direkodkan menyertai Klinik Netball Super League (NSL) 2025 yang dianjurkan di empat buah lokasi sepanjang musim ini.
Angka itu direkodkan selepas seramai 300 pelajar menyertai Klinik NSL yang keempat dan terakhir bertempat di Sekolah Menengah Pulau Carey selepas menganjurkannya di tiga buah lokasi lain – Sports Arena@United, Velodrome Iskandar Puteri dan Stadium Juara, Bukit Kiara.
Penganjur memaklumkan pemilihan sekolah pada musim ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar terutamanya daripada suku Orang Asli Mahmeri mengenai asas sukan bola jaring.

Di kesempatan itu, Astro, selaku penganjur NSL dan Klinik NSL turut menyumbangkan tiang gol, bola dan keperluan asa kepada sekolah bagi membantu mencetuskan minat serta semangat pelajar untuk terus aktif dalam sukan bola jaring.
“Klinik NSL adalah satu nilai tambah yang penting kepada kejohanan NSL, yang kini memasuki edisi keempat musim ini. Kami percaya bahawa sukan adalah platform penting dalam membentuk sahsiah dan memperkasa generasi muda.”
“Melalui Klinik NSL ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, untuk mengenali serta menyemai minat mereka dalam sukan bola jaring.”

“Astro Kasih ESG berbangga dapat bekerjasama dengan pasukan Astro Sports dalam memperkukuh inisiatif ini, yang bukan sahaja menyokong pembangunan bakat di peringkat akar umbi tetapi juga memperkasa komuniti melalui sukan,” kata Ketua Kakitangan Asto dan Ketua Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Foo Su Lynn.
“Kami percaya bahawa pengalaman yang diperoleh di Klinik NSL dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus bersemangat, berusaha dan mengasah potensi diri dengan bimbingan jurulatih kebangsaan yang berpengalaman.”
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi impak positif kepada masyarakat melalui ESG dan sukan.” tambahnya lagi.

Untuk makluman, peserta-peserta Klinik NSL bukan sahaja diberikan pendedahan mengenai asas sukan bola jaring bahkan mendapat barang-barang eksklusif NSL selain peserta terbaik turut dipilih untuk beraksi di dalam gelanggang sebenar NSL.
Sepertimana ramai ketahui, saingan NSL musim ini, edisi keempat, melabuhkan tirainya pada Ahad lalu dengan KL Wildcats dinobatkan selaku juara. Manakala gelaran naib juara pula menjadi milik Putrajaya Dynamites dan Johor Jewels di tempat ketiga.
Pada masa yang sama, Astro berbesar hati dengan kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang setiasa memberi sokongan kepada klinik anjuran Astro termasuk Astro Kem Badminton (AKB) dan Klinik Sepak Takraw League (STL) pada musim lalu.