Terbuka Jerman: Arif-Roy King Bertembung Juara Terbuka Malaysia
Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan di Terbuka Jerman 2025, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King berhasil meloloskan diri ke peringkat suku akhir.
Gandingan pemain berusia 22 dan 24 tahun masing-masing mencetak kemaraan terbabit selepas menumpaskan beregu Chinese Taipei, Chang Ko-Chi dan Po Li-Wei dengan mudah pada pusingan 16, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Arif-Roy King memenangi pertembungan ke atas beregu No.105 dunia itu secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 22-20 dalam masa 37 minit.
Kemenangan itu membawa mereka yang kini berada di ranking ke-19 dunia bertemu gandingan Korea yang muncul juara Terbuka Malaysia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000 – Kim Won Ho dan Seo Seung Jae.
Terdahulu, Kim-Seo, turut diletakkan selaku pilihan ketujuh, melakar kemaraan ke peringkat suku akhir bagi siri kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 ini selepas menewaskan beregu Jerman, Daniel Hess dan Marvin Seidel secara “straight set” menerusi skor 21-6 dan 21-12.
Sebagai rekod, pertembungan ini juga merupakan ulangan kepada pertemuan mereka di pusingan 32 Terbuka Malaysia pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pertembungan itu berakhir dengan Arif-Roy King tumbang secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 11-21 dalam masa 45 minit.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia