Ranking BWF: Aidil Lonjak 8 Anak Tangga Selepas Muncul Juara Di Sri Lanka

March 4, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki negara yang kini berstatus bebas (independent), Aidil Sholeh Ali Sadikin berhasil melonjakkan kedudukannya dalam Ranking Dunia sebanyak lapan anak tangga pada minggu ini.

Lonjakan itu terhasil susulan pemain berusia 25 tahun ini berjaya menjuarai Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025 sekaligus menjadi gelaran pertamanya sebagai pemain ‘independent’ selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada tahun lalu.

Kejuaraan itu menjadi miliknya selepas berhasil menumbangkan pemain India, Pranay Katta secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad lalu.

Ianya memberikan tambahan 4,000 mata buat Aidil dan membolehkannya kini mengumpul 27,320 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, kemaskini Ranking Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini turut menyaksikan beberapa peningkatan kedudukan terhadap beberapa perseorangan lelaki negara.

Leong Jun Hao dan Justin Hoh masing-masing merekodkan peningkatan satu anak tangga dan kini menduduki tangga ke-26 dan ke-50 masing-masing.

Sementara itu, Cheam June Wei yang mara sehingga pusingan 16 Terbuka Jerman 2025 pada minggu lalu meningkat tiga anak tangga dan kini berada di No.53 dunia.

Manakala perseorangan lelaki handalan negara, Lee Zii Jia kekal tidak berganjak di posisi No.7 dunia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd