Nepal Guna Khidmat Jurulatih Australia, Atur Aksi Persahabatan Dengan Singapura
Hafiz Omar

Nepal yang menghuni ranking ke-175 dunia dilihat membuat persiapan yang serius sebelum bertemu Malaysia pada perlawanan pertama pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.
Ini termasuk dengan memperkenalkan Matthew Barry Ross atau lebih dikenali sebagai Matt Ross kelahiran Australia sebagai ketua jurulatih skuad senior kebangsaannya yang baharu.
Jurulatih berusia 47 tahun yang memiliki lesen kejurulatihan Pro UEFA itu diikat oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) dengan kontrak selama setahun dan telah diperkenalkan kepada umum pada Ahad lalu.
Matt yang memulakan karier kejurulatihannya sekitar dua dekad lalu hadir bagi menggantikan ketua jurulatih sebelumnya iaitu Vincenzo Alberto Annesse dari Itali yang telah tamat kontraknya pada Oktober tahun lalu.
Karier kejurulatihan Ross banyak tertumpu di bersama pasukan pelapis dan pembangunan di benua eropah. Sebelum menerima tawaran bersama Nepal atau nama julukannya, The Gorkhalis, Ross merupakan penolong jurulatih United FC yang bersaing dalam kancah bola sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Berdasarkan pengumuman oleh ANFA, Ross telah pun menyenaraikan dan memanggil 30 pemain untuk menghadapi Malaysia.
Bukan itu sahaja, Nepal juga telah mengatur satu perlawanan persahabatan dengan Singapura pada 21hb Mac (Jumaat) di Stadium Nasional, Kallang, yang berfungsi sebagai aksi pemanas badan.
Selepas itu, Nepal akan terbang ke Malaysia untuk bertemu dengan skuad kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski pada 25hb Mac (Selasa).
Nepal will face Singapore on March 21 in Singapore, followed by the qualifier clash against Malaysia on March 25.#TeamNepal #ANFA https://t.co/yET9jibCII
— All Nepal Football Association (@theanfaofficial) March 4, 2025
Featured Image: ANFA