Penaung KLFA & KL City FC, Fahmi Fadzil Bergelar Datuk
Hafiz Omar

Penaung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) merangkap Menteri Komunikasi iaitu YB Fahmi Fadzil kini bergelar Datuk.
Gelaran itu hadir selepas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk kepada Fahmi dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2025, pada hari ini.
Pengurniaan darjah kebesaran itu turut mendapat ucapan tahniah daripada KLFA dan KL City FC.

Sebagai rekod, Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai diumumkan dilantik sebagai Penaung KLFA pada 18hb Oktober 2024 selepas Syed Yazid Syed Omar memenangi kerusi Presiden KLFA bagi penggal 2024-2028.
Sebelum itu, Fahmi telah berperanan sebagai Penaung KL City sekitar Jun 2023.
Selain Fahmi, Datuk Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Datuk Zulharry Abdul Rashid, Penasihat Undang-Undang Istana Negara turut menerima Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W).
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa mendahului selaku penerima dengan dikurniakan Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Pada istiadat itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 32 penerima.
Featured Image: Facebook Official Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Istana Negara Malaysia