Bek Kiri Kelahiran Sepanyol, Gabriel Palmero Sertai Kem Harimau Malaya
Hafiz Omar

Selepas Hector Hevel, teka-teki mengenai seorang lagi pemain luar negara yang mempunyai darah keturunan Malaysia terjawab apabila Gabriel Palmero didedahkan menyertai kem latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan.
Pendedahan itu dikongsikan sendiri oleh akaun media sosial, Malaysia NT, pada Rabu, ketika skuad berjulukan Harimau Malaya menjalani sesi latihan ketiga di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Sebelum itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski telah mengesahkan identiti pemain berketurunan Malaysia yang baharu itu semasa sesi temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Gabriel Palmero atau nama sebenarnya, Gabriel Felipe Arrocha merupakan pemain yang beraksi di posisi bek kiri, berusia 23 tahun, kelahiran La Palma, Sepanyol.
Pada saat ini, Gabriel merupakan pemain UD Las Palmas atau Las Palmas Atletico namun beraksi secara pinjaman bersama CD Tenerife B – skuad simpanan yang bertarung dalam divisyen keempat bola sepak Sepanyol iaitu Segunda Federacion.
Sejak dari zaman remajanya, Gabriel tidak pernah beraksi di luar negara dan kariernya hanya berkisar di negara kelahirannya. Antara kelab yang lain yang pernah disertainya ialah Gimnastica Segoviana CF selain bersama skuad pembangunan UD Las Palmas dan SD Tenisca.
𝐁𝐢𝐨𝐝𝐚𝐭𝐚 𝐆𝐚𝐛𝐫𝐢𝐞𝐥 𝐏𝐚𝐥𝐦𝐞𝐫𝐨 – 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐢𝐧 𝐖𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢𝐦𝐚𝐮 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐚
— Sukanz. (@sukanzcom) March 20, 2025
Nama: Gabriel Felipe Arrocha
Posisi: Bek Kiri
Umur: 23 Tahun
Tarikh Lahir: 15 Jan 2002
Tempat Lahir: La Palma, Sepanyol pic.twitter.com/sZFcJJaAHb
Kehadiran Gabriel dilihat memberikan lebih pilihan buat Cklamovski untuk mengisi posisi bek kiri skuad kebangsaan selain mempunyai pemain Johor Darul Ta’zim dan SabahFC iaitu Corbin-Ong dan Daniel Ting.
Memandangkan umurnya yang masih muda, Gabriel pastinya boleh menjadi perancangan jangka masa panjang Harimau Malaya lebih-lebih lagi Corbin dan Daniel kini berusia 33 dan 32 tahun masing-masing.
Featured Image: Malaysia NT / Instagram Gabriel Palmero