Huawei Band 10 Mula Dijual Di Malaysia – Harga Bermula RM189
Hafiz Omar

Huawei Malaysia mengumumkan gelang tangan pintar terbarunya, Huawei Band 10, mula dijual untuk pasaran tempatan secara rasminya dengan tanda harga bermula RM189.
Bersempena dengan penjualan ini, Huawei Malaysia turut menawarkan baucar RM40 bagi pembelian atas talian untuk tempoh yang terhad – menjadikan ianya boleh dibeli dengan harga serendah RM149 sahaja.
Huawei Band 10 merupakan gelang tangan pintar yang mempunyai skrin 1.47 inci AMOLED, disertakan dengan pelbagai penjejak kesihatan, akses kepada mod aktiviti sukan yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) serta ketahanan bateri sehingga 14 hari.
Paling menarik, Huawei Band 10 ini menyokong pembayaran QR melalui integrasi TNG eWallet membolehkan pengguna melakukan sebarang transaksi pembayaran tanpa perlu membuka telefon pintar masing-masing.
Bagi yang berminat, Huawei Band 10 ini boleh didapati secara atas talian di laman rasmi Huawei dan Huawei Experience Store di seluruh negara.