Cabaran Antarabangsa Vietnam: Jacky, Jia Jie Mara Ke Suku Akhir
Hafiz Omar

Jacky Kok Jing Hong dan Tan Jia Jie menjadi perseorangan lelaki negara yang terawal mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir dalam Cabaran Antarabangsa Vietnam 2025 yang berlangsung pada minggu ini.
Jacky yang menghuni ranking ke-86 mara setelah menumpaskan rakan senagara, Chua Kim Sheng dengan bergaya menerusi skor 21-8 dan 21-19 dalam masa 40 minit.
Peringkat seterusnya, Jacky akan bertemu samada pilihan pertama kejohanan daripada India, Maisnam Meiraba Luwang atau pemain Jepun, Yudai Okimoto untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, Tan Jia Jie yang diletakkan selaku pilihan ke-15 kejohanan turut melakar kemaraan ke peringkat yang sama apabila melepasi cabaran sengit pemain India, Samarveer menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 13-21, 21-15 dan 21-6.
Aksi suku akhir akan menemukan Jia Jie dengan pemain Chinese Taipei, Wang Po-wei yang menduduki tangga ke-80 dunia.
Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Samuel Lee akan diketahui nasibnya samada terkandas atau mara sepertimana Jacky dan Jia Jie selepas berhadapan dengan pemain Chinese Taipei, Tsai Cheng-han pada pusingan 16.
Featured Image: Badminton Association of Thailand